PERTH,
6 April (Bernama) - Kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan satu
isyarat ketika menyertai operasi mencari penerbangan MH370 di selatan Lautan
Hindi pada Ahad.
Perkembangan
terbaharu ini menyusuli dua denyut pendek yang juga dikenali sebagai isyarat
akustik yang dikesan 36 jam lalu dan pada petang Sabtu oleh kapal China, Haixun
01.
Ketua
Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata
setakat ini belum dapat diputuskan sama ada untuk mengesahkan atau menolak
petunjuk itu memandangkan siasatan masih berjalan.
"Kapal
HMS Echo dalam perjalanan ke lokasi Haixun 01 manakala Ocean Shield sedang
menyiasat isyarat itu menggunakan peralatan bawah permukaan air," katanya
dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya
jarak antara Haixun 01 dan Ocean Shield ialah kira-kira 300 batu nautika.
Houston
menyifatkan Ocean Shield sebagai kapal terbaik untuk tugas itu memandangkan
aset tersebut dilengkapi 'towed pinger' (alat pengesan isyarat yang ditunda)
dan kenderaan bawah permukaan air kawalan jauh.
Beliau
bagaimanapun menjelaskan pengesahan isyarat itu boleh mengambil masa beberapa
hari selain pencarian yang sukar kerana kedalaman di kawasan berkenaan ialah
kira-kira 4.5 km di samping pelbagai cabaran lain.
Penerbangan
MH370 ke Beijing itu yang membawa 239 orang hilang tanpa jejak ketika di ruang
udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu.
Analisis
data satelit kemudian menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan
asal dan penerbangan berakhir di selatan Lautan Hindi.
--
BERNAMA