06 August 2011

Masyaallah... Aku Sudah Terlalu Jauh Ketinggalan…

Pada malam 2 Ogos 2011, lepas sembahyang terawih di masjid yang selalu aku kunjungi, seperti biasa aku ke satu sudut mengambil al-Quran dan ingin membacanya. Baru sahaja aku duduk, aku didatangi oleh seseorang, sahabat lama tapi tidaklah rapat. Beliau juga memegang senaskah al-Quran. Beliau lalu bertanya, “Kau pernah masuk tilawah al-Quran kan?” Lalu aku jawab, “Ya. Kenapa”. Mulanya aku tidak dapat menangkap maksud soalan itu memandangkan kami pernah sama-sama menyertai tilawah suatu ketika dulu, mustahil beliau sengaja bertanya soalan yang beliau sudah tahu jawapannya. Lalu beliau terus menyambung, “Kalau begitu tentulah kau ni pandai baca al-Quran bukan?”. Aku membalas, “Tidaklah pandai, cukup untuk bekalan bagi diri sendiri”. Beliau terus menambah, “Kau faham tak makna ayat-ayat al-Quran yang kau baca tu?”. “Tahu la sikit-sikit. Biasanya ayat-ayat yang selalu dibaca dan perkataan-perkataan yang sinonim dengan Bahasa Melayu”. Aku menjawab secara jujur.