Cuti Hari Raya Aidil Fitri dah habis. Teringat kisah-kisah sepanjang tempoh berhari raya di kampong. Suka dan duka adalah episod yang sentiasa diulang tayang pada setiap kali hari raya. Paling utama, hari raya adalah hari menyambut kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan dan sepatutnya masing-masing bergembira mengikut lunas-lunas yang ditentukan oleh Allah s.w.t.
Bulan Ramadan adalah bulan yang dipenuhi dengan keberkatan di dalamnya. Tetapi hairan, apabila Syawal menjelma, ada di kalangan saudara mara, adik beradik dan lebih parah ada di kalangan anak dan ibubapa bergaduh atau berselisih faham sesama sendiri. Di mana silapnya? Aku amat percaya, perkara ini berlaku disebabkan keberkatan Ramadan dilepaskan begitu sahaja oleh mereka yang terlibat. Apabila anak bergaduh dengan ibubapa, ini adalah ujian kepada ibubapa itu sendiri. Di mana silapnya? Muhasabahlah diri, baru terang lagi bersuluh kesilapan yang telah dilakukan sama ada secara sedar atau tidak, dan sengaja atau tidak.
Adakah andaianku salah? Padaku logiknya memang ada. Jika telahanku betul, maka amat malang sekali orang yang melepaskan keberkatan Ramadan ini. Kalau ketika bulan Ramadan telah dijanjikan oleh Allah penuh dengan keberkatan di dalamnya, dan peluang ini diambil oleh setiap insan yang bertaqwa, mana mungkin kemelut ini berlaku.