02 September 2011

Ragam Balik Kampong Menjelang Raya

Cuti Hari Raya Aidil Fitri dah habis. Teringat kisah-kisah sepanjang tempoh berhari raya di kampong. Suka dan duka adalah episod yang sentiasa diulang tayang pada setiap kali hari raya. Paling utama, hari raya adalah hari menyambut kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan dan sepatutnya masing-masing bergembira mengikut lunas-lunas yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Bulan Ramadan adalah bulan yang dipenuhi dengan keberkatan di dalamnya. Tetapi hairan, apabila Syawal menjelma, ada di kalangan saudara mara, adik beradik dan lebih parah ada di kalangan anak dan ibubapa bergaduh atau berselisih faham sesama sendiri. Di mana silapnya? Aku amat percaya, perkara ini berlaku disebabkan keberkatan Ramadan dilepaskan begitu sahaja oleh mereka yang terlibat. Apabila anak bergaduh dengan ibubapa, ini adalah ujian kepada ibubapa itu sendiri. Di mana silapnya? Muhasabahlah diri, baru terang lagi bersuluh kesilapan yang telah dilakukan sama ada secara sedar atau tidak, dan sengaja atau tidak.

Adakah andaianku salah? Padaku logiknya memang ada. Jika telahanku betul, maka amat malang sekali orang yang melepaskan keberkatan Ramadan ini. Kalau ketika bulan Ramadan telah dijanjikan oleh Allah penuh dengan keberkatan di dalamnya, dan peluang ini diambil oleh setiap insan yang bertaqwa, mana mungkin kemelut ini berlaku.

Seperti biasa, apabila suasana hari raya menjelma, para perantau berebut-rebut untuk balik ke kampong. Setiap kali warga kota balik kampong, jalanraya sesak dengan kenderaan dan kesesakan menjadi lebih teruk jika ada kemalangan. Yang peliknya, laluan yang bertentangan yang tidak terlibat dengan kemalangan juga turut sesak disebabkan pemandu-pemandu memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat apa yang berlaku. Inilah akibatnya sikap ambil tahu yang tidak sepatutnya di kalangan rakyat Malaysia.

Bila kesesakan ini berlaku, ada di kalangan para pemandu yang tidak sabar lalu menggunakan lorong kecemasan untuk sampai ke destinasi masing-masing dengan lebih cepat. Tidak kurang juga pemandu yang sering menukar lorong apabila kenderaan bergerak perlahan dan sikap ini sebenarnya lebih memburukkan lagi kesesakan yang berlaku.

Aku cukup panas dengan sikap tidak bertamaddun ini, lebih-lebih lagi apabila kita berada di lorong kanan dan sedang memotong, kereta yang dipandu laju dari arah belakang menyalakan lampu menyuruh kita ke tepi untuk member laluan kepada mereka. Kereta besar, duit mungkin banyak, tapi otak letak di kelapa lutut. "Sabar la! Kau tak nampak ke aku sedang memotong, dah habis nanti, aku ke tepi la. Macam la bapak kau sorang saja yang bayar roadtax dan tol". Ini satu lagi sikap pentingkan diri sendiri dan menunjukkan ego bahawa dialah saja yang berkereta besar, laju dan berani. Piiiraahhhh!!!