Ketua agensi Australia yang menyelia pencarian pesawat
MH370 yang hilang hari ini berkata, satu tompokan minyak telah dikesan di
kawasan carian di Lautan Hindi.
"Saya boleh melaporkan bahawa (kapal Australia ) Ocean Shield mengesan tompokan minyak petang semalam di kawasan carian ketika ini," kata Angus Houston.
Beliau juga berkata bahawa kenderaan pengesan bawah air
akan dikerahkan tidak lama lagi, untuk bergerak dan mencari dalam air selepas
hampir enam minggu pencari yang sia-sia.
Houston berkata, walaupun satu tompokan minyak dikesan
di kawasan carian pada petang Ahad, beliau pesimis mengenai kemungkinan menjumpai
apa-apa serpihan yang terapung.
"Saya menekankan bahawa sumber minyak ini masih
belum ditentukan tetapi tompokan minyak adalah lebih kurang 5,500 m daripada
kawasan pengesanan oleh pengesan yang ditarik oleh Ocean Shield," katanya.
Ia memerlukan beberapa hari sebelum minyak boleh diuji secara
muktamad di darat, tetapi Houston berkata beliau tidak fikir minyak tersebut
adalah dari kapal pencari.
"Peluang untuk menjumpai apa-apa bahan terapung adalah
sangat tipis dan ia lebih sesuai untuk berbincang dengan rakan-rakan di
Australia bagi membuat keputusan kaedah akan datang lebih awal pada lewat
minggu ini," kata Houston.
Pencari yakin mereka tahu anggaran kedudukan bangkai
pesawat Boeing 777-200ER ( 9M- MRO), ada 1,550 km barat laut Perth, dan bertindak
berdasarkan empat isyarat akustik yang mereka percaya adalah dari perakam kotak
hitam.
"Walaupun kekurangan pengesanan lanjut, empat
isyarat yang diperolehi sebelum ini diambil bersama-sama membentuk petunjuk yang
paling diharapkan yang kita ada dalam pencarian MH370," kata Houston
kepada pemberita di Perth.
"Pakar-pakar telah menentukan bahawa Ocean Shield Australia
akan berhenti mencari dengan pengesan ping yang ditarik lewat hari ini dan
menggunakan kenderaan pengesan dalam air, 'Bluefin-21' , secepat mungkin,"
katanya, merujuk kepada peranti tentera laut Amerika yang direka untuk mengesan
isyarat "ping".
Bluefin–21, alat sonar buatan AS, 4.93m panjang kini
akan meneroka dasar laut.
Peranti sonar, yang mempunyai berat 750kg, boleh
beroperasi pada kedalaman sehingga 4,500 m, anggaran kedalaman dasar laut di
mana ping dikesan.
Houston berkata, "Kami tidak mengesan sebarang
isyarat dalam masa enam hari, jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk pergi ke
bawah air,".
Bateri di dalam kotak hitam pesawat kini telah seminggu
melepasi 30 hari jangkaan hayatnya yang diharapkan dan pencari akan bergantung
kepada sonar dan kamera di Bluefiun-21 untuk mengesan kotak. - Agensi , April
14 , 2014.