13 August 2011

Kecelaruan Sistem Pendidikan Negara

Sebagai seorang bapa kepada 4 orang anak-anak yang masih bersekolah, aku berasa agak kecewa dengan sistem pendidikan yang diamalkan di negara ini. Sebagai ibubapa, apa yang kita mahu sebenarnya? Adakah kita mahu anak-anak kita berjaya dalam pelajaran atau berjaya dalam hidup, atau adakah kita mahu anak-anak kita berjaya di dunia atau di akhirat, atau kedua-duanya sekali?

Melihat kepada situasi sekarang ini, jelas bahawa sistem pendidikan yang diamalkan sekarang ini memaksa masyarakat mengejar kecemerlangan dalam pelajaran akademik semata-mata. Kecemerlangan anak-anak dalam akademik adalah sebagai penanda aras kecemerlangan ibubapa dalam mendidik anak-anak mereka. Bagi memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran, ibubapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen berbayar. Bagi golongan yang tinggal di luar bandar dan pedalaman serta tidak berduit, hanya tuisyen percuma yang diharapkan. Situasi ini menjadikan persaingan pendidikan yang tidak adil di antara pelajar-pelajar di bandar-bandar dan di kawasan pedalaman.

Anak-anak juga dibebankan dengan harapan menggunung ibubapa. Balik sahaja sekolah, berkejar pula ke pusat-pusat tuisyen. Bagi golongan bukan Islam mungkin tidak menjadi bebanan yang terlalu besar, tetapi bagi pelajar-pelajar Islam yang ibubapa mereka melihat bahawa nilai-nilai keagamaan itu masih penting, maka pelajaran agama menjadi tumpuan selepas waktu sekolah dan waktu malam digunakan untuk tuisyen. Rupa-rupanya, anak-anak menjadi lebih sibuk daripada golongan ibubapa yang bekerja. Di manakah keindahan mereka melalui zaman kanak-kanak? Adakah ibubapa sanggup mengetepikan harapan mereka agar anak-anak dapat membesar dan menikmati zaman kanak-kanak mereka tanpa bebanan yang dicipta melalui sistem pendidikan ini?

Matapelajaran Agama Islam dan Pendidikan Moral bukan lagi menjadi matapelajaran wajib bagi peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan hanya diajar sebagai syarat sahaja. Ada sesetengah ibubapa yang sanggup mengenepikan pendidikan Fardu Ain dan Al-Quran semata-mata untuk membolehkan anak-anak mereka menumpukan perhatian kepada tuisyen akademik. Bila keadaan ini berlaku, persoalannya bagaimanakah kita boleh membentuk anak-anak kita menjadi insan yang mulia?

Kejayaan dalam pelajaran belum tentu menjadi tiket untuk kita berjaya dalam hidup dan boleh menjadi hamba kepada Maha Pencipta dan anak yang baik. Kejayaan dalam pelajaran biasanya dikaitkan dengan kerjaya yang bagus dan sudah tentu tidak dapat lari dari kesibukan. Pernahkah kita dengar atau lihat apabila anak-anak yang berjawatan besar mengabaikan ibubapa mereka yang telah tua ataupun sanggup menghantar ibubapa masing-masing ke Rumah-rumah Kebajikan kerana tidak mampu menjaga akibat urusan mereka yang terlalu sibuk? Kesibukan anak-anak yang berkerjaya juga sering menjadi punca pertelagahan di kalangan mereka tentang siapa yang sepatutnya menjaga ibubapa yang telah tua dan uzur itu.

Kecelaruan ini berterusan dengan usaha untuk memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah. Apakah tujuannya? Adakah untuk mengajar remaja-remaja tentang bagaimana cara melakukan seks, atau adakah untuk mengelakkan remaja-remaja terlibat dengan seks sebelum kahwin, atau adakah untuk mengelakkan mereka mengandung sebelum kahwin, atau adakah untuk mengelakkan mereka dijangkiti penyakit HIV/AIDS akibat hubungan seks rambang, atau adakah untuk mengelakkan gejala pembuangan bayi yang berleluasa sekarang ini? Adakah dengan pelajaran seks yang diperkenalkan ini akan mampu membendung gejala sosial yang tidak sihat ini berlaku?

Kalau setakat untuk mengajar remaja-remaja bagaimana untuk melakukan seks rasanya tidak perlu, sebab binatang pun pandai walaupun tidak pernah bersekolah. Kenapa dulu-dulu masalah seks bebas ini tidak timbul? Adakah gejala seks bebas yang berleluasa sekarang ini disebabkan oleh tiadanya pelajaran seks di sekolah-sekolah? Pernahkan kita mengkaji ataupun mengambilkira faktor-faktor luaran ataupun persekitaran yang mendorong wujudnya seks bebas yag berleluasa ini dan sekiranya ada, apakah usaha-usaha yang telah diambil untuk menghalang faktor-faktor tersebut daripada terus mempengaruhi anak-anak kita? Pokok pangkalnya adalah pengetahuan tentang agama dan ketaqwaan kepada Allah. Kalau tiada kesedaran dan perasaan takut kepada Allah, maka perkara-perkara lain yang melibatkan seks itu pun sukar dibendung.

Aku percaya, ubat yang paling mujarab tentang persoalan gejala seks bebas ini ialah pelajaran agama yang secukupnya kepada anak-anak, bukannya pelajaran seks. Pelajaran agama menggabungkan unsur-unsur kesedaran dan ketaqwaan, manakala pelajaran seks lebih kepada pendedahan kepada perlakuan seks itu sendiri dan opsyen bagaimana untuk melakukan seks yang selamat tanpa mengandung, dijangkiti HIV/AIDS dan sebagainya, tetapi tidak menekankan ketaqwaan kepada Allah. Bagaimanakah pelajaran seks ini boleh berjaya jika masih banyak kecelaruan yang wujud?